PASIR SALAK: Penggabungan industri kelapa bersama-sama industri nanas dan buah-buahan di bawah satu lembaga mampu menjadi pemangkin kepada nilai tambah produk pertanian itu.

Ia sekaligus boleh mengembalikan semula kegemilangan industri kelapa negara di samping mengurangkan import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berkata, lembaga itu boleh menjadi satu badan yang mampu memberi cadangan nilai tambah untuk meningkat dan mempelbagaikan industri berasaskan kelapa.

Menurut beliau, penggabungan itu akan menjadi sektor yang berpotensi besar dan mempunyai hala tuju bagi mengutarakan dasar lembaga terbabit.

“Kerajaan nak bangunkan tanaman kelapa dan penanaman nanas supaya ia menjadi sektor berpotensi besar yang menjana ekonomi negara.

“Jadi tak delah industri kelapa hanya tertumpu kepada produk berasaskan minyak dan santan semata-mata sedangkan ia boleh dipelbagaikan,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Perayaan  Hari Deepavali peringkat Parlimen Pasir Salak di Langkap dekat sini, malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 berkata, pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga bersama-sama industri nanas dan buah-buahan yang akan memberi faedah kepada pengusaha dan 10,000 pekebun kecil.