IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memberi diskaun kepada semua pengguna air domestik di negeri ini, kata Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri tidak dapat menurunkan kadar tarif air yang sedia ada.

YAB Ahmad Faizal berkata, pemberian air percuma kepada golongan sasar juga akan diteruskan dan bilangannya dijangka meningkat daripada yang diberikan sebelum ini.

“Saya masih belum dapat mengumumkan kerana untuk menentukan senarai nama akaun-akaun golongan sasar yang saya maksudkan dan saya akan umumkan menjelang minggu depan.

“Bilangannya sudah tentu meningkat kerana kita hendak bantu lebih ramai orang, bukannya kerana sejak Pakatan Harapan memerintah, ramai orang miskin, bukan, tetapi maksudnya ramai lagi kita nak `reach out’ untuk beri bantuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Air Perak (LAP) di Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Hadir sama barisan exco kerajaan negeri Perak dan Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusuf Mohd Isa.

Ditanya kemungkinan LAP akan menarik penajaan kepada pasukan bolasepak Perak ekoran langkah itu, YAB Ahmad Faizal berkata, beliau sedang berusaha untuk menarik lebih banyak penaja swasta dan korporat, termasuk daripada luar Perak.

“Sekarang kita sedang berbincang untuk mencari pemain-pemain baru kerana menjelang September dan Oktober ini, kita kena ada pemain-pemain dan sebagainya.

“Tetapi untuk tujuan penajaan, saya juga sedang mengusahakan penglibatan golongan swasta, korporat-korporat untuk datang ke Perak dan menaja pasukan yang hebat, kejor yop kejor dan PKNP FC juga.

“Jadi, saya nak kurangkan berbelanjaan penajaan daripada LAP, PKNP dan juga GLC kita kepada pasukan bola, kalau boleh kita nak minta daripada luar, daripada pihak swasta lain,” tambah beliau.

1/3