SAN FRANCISCO – Facebook Rabu lepas melaporkan bahawa keuntungan suku tahunannya sebanyak AS$3 bilion (RM13 bilion) dengan jumlah terkini pengguna hampir mencapai dua bilion.

Rangkaian media sosial ternama itu melaporkan keuntungan AS$3.06 bilion (RM13.27 bilion) daripada pendapatan AS$8.03 bilion (RM34 bilion) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, mencatatkan kenaikan masing-masing 76 peratus dan 49 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, jumlah pengguna bulanan Facebook meningkat sebanyak 17 peratus kepada 1.94 bilion, berdasarkan laporan pendapatan tersebut.

“Kami bermula dengan baik pada tahun ini. Kami berharap dapat meneruskan membina platform bagi menyokong komuniti global yang utuh,” ujar pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg.

Facebook mencapai sasaran tinggi bagi perolehan tetapi jatuh sedikit dalam keuntungan. Saham syarikat itu jatuh sebanyak 2.45 peratus kepada AS$148.08 (RM642) sesaham selepas pengumuman perolehan.

Facebook kelmarin menyatakan akan menambah lebih 3,000 kakitangan baharu bagi memadamkan kandungan ganas seperti pembunuhan kejam dan bunuh diri yang disiarkan menerusi platform video.

Langkah itu dilihat sebagai satu usaha Facebook untuk menapis kandungan berikutan peningkatan kritikan berkaitan penggunaan platform media sosial itu untuk mempromosikan aktiviti keganasan dan kebencian.

Berdasarkan firma penyelidik eMarketer, Facebook diramal mampu meraih AS$36.29 bilion (RM157 bilion) pada tahun ini meningkat sebanyak 35 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah itu meletakkan Facebook meraih 16.2 peratus pasaran iklan digital dunia iaitu di belakang Google yang menguasai 33 peratus. – AFP