KUALA LUMPUR: Pengguna motosikal kekal penyumbang tertinggi kes kemalangan maut sepanjang Ops Selamat 12 sempena Tahun Baharu Cina 2018 yang diadakan pada 9 hingga 23 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata jumlah itu dapat dilihat apabila seramai 150 pengguna motosikal maut daripada 208 kes maut dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, angka kematian daripada pengguna kereta adalah kedua tertinggi iaitu 46 kes diikuti pejalan kaki sebanyak 13 kematian, pengguna lori (lima kematian), pengguna van (lima), pengguna basikal dan bas (masing-masing satu) serta lain-lain pengguna sebanyak lima kematian.

“Daripada jumlah kes kemalangan maut ini, 82 kes adalah kerana terbabas dipercayai akibat memandu dengan laju, mengantuk serta menggunakan telefon bimbit.

“Selain itu, faktor lain adalah kerana gagal memotong kenderaan, mengekori terlalu rapat, lawan aliran trafik, cuai keluar dan masuk simpang selain masuk ke laluan bertentangan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 12 yang diadakan di Mes Pegawai Bukit Aman, pagi tadi.

Yang hadir sama Pengerusi PLUS Malaysia Bhd, Tan Sri Mohd SS dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Azman Ismail.

Noor Rashid berkata, sepanjang Ops Selamat 12, sebanyak 385,547 saman dikeluarkan dan paling tinggi membabitkan kesalahan memandu lebih had laju iaitu sebanyak 253,810 saman, melanggar lampu isyarat (4,630), menggunakan telefon bimbit ketika memandu (2,853 saman) dan memandu di lorong kecemasan sebanyak 2,492 saman.

Selain itu, Noor Rashid berkata, pihaknya kini sedang mengumpul data membabitkan pesalah lalu lintas berulang bagi membolehkan tindakan susulan diambil terhadap mereka.

“Menerusi data ini nanti, kita mungkin melihat kemungkinan tertentu untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Namun, segalanya bergantung kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melihat tindakan yang perlu,” katanya – berita harian