Oleh:Naziaita Geynna Maharan

IPOH: Polis memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menggunakan paraglider dan dron sepanjang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata larangan pengunaan alat dan kenderaan berkenaan dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan.

Menurut Zulkifli, penggunaan kedua alat itu adalah salah dan tidak dibenarkan dalam hari penamaan calon dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan dipertanggungjawabkan dalam melakukan kawalan ketat dan keutamaan kepada penggunaan dron dan alat berkaitan.

“Ini (pengunaan paraglider dan dron) di bawah Sivil Aviation Authority yang mana Malaysia telah tetapkan tidak boleh menggunakan dron.

“Sekiranya mahu menggunakan dron dan paraglider perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Sivil Aviation Authority,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat dan Perjumpaan bersama 500 petugas PRU14 yang terdiri daripada PGU, Komando 69, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan di Pangkalan Latihan PGU di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata pegawai dan anggota polis di semua negeri yang ditugaskan pada hari penamaan calon telah bersiap sedia untuk memastikan proses penamaan calon berjalan dengan teratur.

“Calon-calon dan penyokong perlu melalui proses penamaan secara teratur dan mengikut nasihat polis supaya calon-calon dapat didaftarkan dapat bertanding tanpa sebarang masalah.

Setakat ini saya tidak nampak ada sebarang masalah dan saya harap semua yang terlibat akan ikuti nasihat polis termasuk ketua polis negeri dan daerah yang akan bertanggungjawab di kawasan masing-masing.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar menghormati tatasusila dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan di bawah peraturan dan undang-undang pilihanraya antaranya calon perlu memohon permit untuk mengadakan ceramah dan sebagainya.

“Saya percaya semua ketua polis daerah telah pun memberikan penerangan tentang hal ini di mana yang boleh didapatkan borong untuk mohon permit.

“Kita perlu laksanakan kempen secara tertib supaya tidak menggugat ketenteraman awam dan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari mengundi 9 Mei nanti,” katanya.