Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Haron mengesahkan bahawa penggunaan kain rentang yang menggunakan kata-kata berbaur sensitif dan menyinggung di seluruh negara sepanjang proses penamaan calon semalam (Sabtu) merupakan kes terpencil.

Jelasnya, siasatan pihaknya mendapati kes penggunaan kain rentang yang tidak bersesuaian dengan peraturan ditetapkan adalah kurang daripada 10 kes di kesemua 222 pusat penamaan calon di seluruh Malaysia.

“Buat masa ini, kita telah mengambil tindakan yang perlu, dan akan menjalankan siasatan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri Program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah Dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai beberapa laporan penggunaan dron dan paraglider yang dilarang oleh PDRM berkata beliau mengambil maklum perkara itu namun ianya terletak di bawah penyeliaan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Buat masa ini, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kesemua parti politik baik dari pembangkang dan kerajaan menunjukkan sikap positif dengan mengawal serta memastikan penyokong mereka berkelakuan secara baik pada proses penamaan calon semalam.

Jelasnya, tindakan PDRM yang melakukan pendekatan kepada semua parti politik untuk menasihatkan ketertiban dalam berkempen untuk hari pengundian pada 9 Mei depan juga harusu dipuji.

“Saya sendiri berpuas hati dengan kawasan Bagan Datuk…jika trend ini dapat dikekalkan untuk 10 hari mendatang terutamanha pada hari “didih” iaitu 9 Mei, saya harap semua parti politik akan dapat menghormati peraturan, mengawal perasaan masing-masing mengikut tertib sendiri,”ujarnya lagi.

BERITA BERKENAANPenduduk Bota Dapat Nikmat Lapangan Terbang Baru