PANGKOR: Dalam usaha melestarikan teknologi hijau di Pulau Pangkor, kerajaan negeri telah memperkenalkan penggunaan motorsikal elektrik sebagai alternatif untuk mengurangkan pencemaran daripada penggunaan petrol sekaligus di pulau peranginan terkemuka negara itu.

Melalui usahasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) sempena ‘Program Pangkor: Melestari Pengangkutan Hijau’, sebanyak 20 buah motorsikal elektrik telah dibekalkan kepada pengusaha pelancongan di sektor perhotelan dan sewa kenderaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata inisiatif yang masih di peringkat percubaan itu merupakan usaha kerajaan negeri memperkenalkan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pencemaran daripada penggunaan petrol.

“Difahamkan ada beberapa tempat yang sudah diperkenalkan tapi dalam konteks penggunaan di Pulau Pangkor, kita cuba dulu promosikan.

“Sekiranya penggunaannya memudahkan untuk tujuan pengawasan dan pengurusan, maka kita akan cuba buat satu keputusan baik ke arah penggunaan motor tanpa petrol ini di Pulau Pangkor,” katanya selepas majlis penyerahan motor elektrik kepada 10 pengusaha tersebut di Arena Pangkor.

Ia juga merupakan satu percubaan bagi menggalakkan penduduk dan pengusaha pelancongan di pulau tersebut mempertimbangkan penggunaan motor elektrik atau Electric 2 Wheel (E2W) tersebut.

Beliau meletakkan sasaran kemungkinan dalam tepoh 20 tahun akan datang, Pangkor tidak akan menggunakan petrol dan diesel, sekaligus dapat menambat lebih ramai pelancong untuk berkunjung untuk menghirup udara segar.

Mengulas mengenai E2W yang diberi nama BOS 2000, Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata, berdasarkan kepada keluasan Pangkor yang berukuran 14 kilometer persegi, penduduk boleh berjimat jika memilih untuk menggunakan motorsikal itu.

“Jika kita lihat dari segi penggunaan jalan raya, mungkin orang hanya boleh bergerak sehari 10 hingga 20 kilometer tapi dari kapasiti bateri boleh guna sampai 75 kilometer sebelum mengecas semula bateri motor.

“Bagi satu bateri motor ini ia boleh digunakan tiga ke empat hari bergantung kepada kekerapan penggunaan motor ini dan bagi Pangkor yang bersaiz kecil ini adalah lebih baik.

“Ia juga mempunyai kelebihan untuk digunakan pada jalan yang berbukit malah dari segi kos penggunaan elektrik ini hanya 20 peratus daripada kos sebenar bagi pengunaan petrol dan diesel,” katanya.

Untuk fasa pertama, kerajaan negeri memfokuskan kepada usahawan pelancongan agar ia dapat menjadi nilai tambah dan tarikan kepada sektor tersebut.

“Penerima E2W ini akan diperluaskan kepada kelompok masyarkat yang lain termasuk persatuan khidmat masyarakat Cina dan India, supaya semua rakyat Pangkor dapat merasa faedahnya,” ujar beliau.

Baki 30 unit BOS 2000 akan dilaksanakan setelah program kajian penyelidikan E2W projek fasa pertama berjaya.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan, Roda Prestasi Sdn Bhd, Ahmad Sabandi Othman, berkata penghasilan BOS 2000 ini merupakan kajian bersama dengan pihak Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengambil masa selama 2 tahun 6 bulan.

“Selain 100 peratus buatan Malaysia, uniknya motorsikal ini mampu mengurangkan kadar penggunaan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus berbanding skuter elektrik lain.

“Ia juga boleh mencapai kelajuan 60km/jam dan mempunyai kekuatan mendaki berkecerunan 20 peratus, dengan kapasiti maksima membawa penunggang dan penumpang seberat 120 kilogram,” katanya.

Manakala Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kenderaan berteknologi hijau negara selain memastikan ia membantu pertumbuhan dalam industri teknologi hijau dan meningkatkan sumbangan kepada ekonomi Pulau pangkor dan negeri secara amnya.

“Selain itu, program ini juga untuk memastikan Pulau Pangkor kekal relevan sebagai pulau pelancongan yang menitikberatkan pembagunan mampan bagi pemuliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang.