Gopeng: Masjid Jamek Baru Gopeng, di sini, dipilih sebagai tuan rumah bagi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) sempena Ramadan 2017 pada 17 dan 18 Jun depan.

Pengerusi Masjid Jamek Baru Gopeng Azizuddin Shah Raja Sorah berkata, pihaknya amat berbesar hati dan menyambut baik usaha murni yang dilakukan Harian Metro dengan kerjasama penaja lain.

Katanya, penganjuran program TKHM secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan dan penduduk sekitar daerah ini.

“Saya dan masyarakat daerah ini amat terharu dengan pemilihan masjid ini oleh pihak Harian Metro dalam menganjurkan program di sini.

“Ia dianggap sebagai satu penghargaan serta manfaat yang cukup besar buat kami dan masyarakat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi TKHM Othman Mamat bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, semalam.

Katanya, pihaknya turut menyatakan persetujuan bagi melaksanakan program berkenaan yang akan diadakan secara bergotong-royong membabitkan penduduk setempat.

Sementara itu, Othman yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro pula berkata, penganjuran program TKHM diadakan buat tahun ke-10 apabila seramai 600 individu akan menerima sumbangan barang keperluan harian membabitkan ibu tunggal dan keluarga miskin serta pakaian baru untuk anak yatim di dua negeri iaitu Johor dan Perak.

Menurutnya, program pertama akan meraikan penerima pada majlis berbuka puasa di Masjid Al Irsyad Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah, Johor pada Jumaat dan Sabtu ini sebelum diikuti Masjid Jamek Baru Gopeng pula.

Katanya, penganjuran program TKHM di Perak turut mendapat kerjasama dan tajaan daripada pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.

-myMetro