KUALA LUMPUR : Perbuatan mengambil gambar perkahwinan di kawasan perkuburan bukan Muslim dianggap penghinaan terhadap mayat-mayat bahkan perbuatan itu juga boleh menyinggung perasaan waris si mati, oleh itu ia sama sekali tidak dibenarkan, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Jangan kerana inginkan kelainan sehingga kita melakukan perkara yang boleh mengundang fitnah dan cerca orang ramai.

“Apatah lagi jika ianya dibuat untuk suka-suka, carilah tempat lain yang lebih sesuai.

“Perbuatan seumpama itu boleh menyebabkan Islam dan penganutnya dipandang serong oleh penganut agama lain, sekaligus menjauhkan mereka dari Islam,” katanya menerusi kenyataan Irsyad Al-Fatwa siri ke 327: Hukum Mengambil Gambar Perkahwinan di Tanah Perkuburan, yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut Zulkifli lagi, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Mematahkan tulang mayat adalah seperti mematahkannya ketika hidup.”

Kata beliau, Maulana Sheikh Syamsul Haq ‘Azim Abadi menukilkan pandangan Al-Tibi berkenaan hadis berkenaan bahawa tidak boleh untuk menghina mayat dengan cara apa sekalipun kerana penghinaan terhadap mayat adalah seperti menghina ketika dia masih hidup.

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa apa sahaja bentuk penghinaan terhadap mayat sama ada perbuatan atau percakapan adalah tidak dibenarkan.

“Apatah lagi jika mengambil gambar dengan pelbagai gaya yang tidak sepatutnya dilakukan di tanah perkuburan, ia juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.

“Tambahan lagi, apa yang perlu diperhatikan adalah kesan dari setiap perbuatan yang di lakukan kerana jika perbuatan itu dilihat lebih jauh, ianya boleh menimbulkan kemarahan penganut agama Kristian yang akhirnya nanti mereka akan melakukan perkara yang sama di perkuburan orang Islam, ” katanya.

Jelas Zulkifli lagi, menziarahi kubur adalah harus sama ada untuk kubur Muslim ataupun yang bukan Muslim.

Kata beliau, tujuan menziarahi kubur sebenarnya adalah untuk mengingatkan kepada kematian yang sememangnya akan dirasai oleh setiap manusia dan perlu menghormati peraturan dan adab.

“Jika yang diziarahi adalah kubur Muslim , maka disunatkan untuk memberi salam dan berdoa untuknya.

“Selain itu, orang ramai juga tidak boleh untuk duduk di atas kubur serta banyak lagi adab-adab lain ketika hadir menziarahi kubur seperti tidak bercakap perkataan yang buruk, tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan sebagainya.

“Justeru kami melihat perbuatan mengambil gambar perkahwinan di perkuburan orang Kristian dengan alasan suka-suka dan ingin buat kelainan adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan dan bukan sahaja boleh mengundang fitnah bahkan perbuatan itu bercanggah dengan nas yang memerintahkan kita untuk menghormati perkuburan dan mayat sekalipun yang bukan Islam,” katanya.

Baru-baru ini tular di Facebook mengenai gambar sesi fotografi butik pengantin di kawasan perkuburan Kristian di Batu Pahat, Johor.

Gambar berkenaan jelas mengundang kemarahan netizen yang kurang senang dengan tindakan jurugambar itu kerana seolah-olah tidak menghormati sensitiviti agama.

Pemilik butik pengantin yang juga jurugambar terbabit, Nur Amirah Mohd Amiruddin, bagaimanapun tampil mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung.