BATU GAJAH: Dua cedera parah termasuk seorang penghulu dalam sebuah kemalangan di Kilometer 18.5, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Seputeh pada malam Selasa.

Dalam kejadian sekitar 10. 43 malam itu, Penghulu Kanan Mukim Bukit Gantang,
Fadzil Mohd Lazim, 55, dan Hairani Maksam, 48, mengalami kecederaan parah setelah kenderaan mereka bertembung dalam insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Alza sedang menghala ke Ipoh sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan telah masuk ke laluan Alza, dan menyebabkan kenderaan itu tidak sempat mengelak.

“Kedua-dua berkenaan kemudian bertembung dan Alza tersebut berhenti melintang di tengah jalan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, berikutan impak rempuhan kedua-dua mangsa mengalami kecederaa parah dan dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.

Nasri berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca pada waktu itu adalah hujan renyai dan tiada tangkapan dilakukan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.