PENGHUNI pusat penjagaan anak yatim lemas ketika mandi bersama rakannya berhampiran pusat peranginan di Pantai Kandis, Bachok, hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu mangsa Khairudin Sayuti, 10, disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

Seorang lagi mangsa, Asraf Zahadi, 13, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh guru pengiringnya dan dilaporkan stabil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.57 pagi yang memaklumkan penghuni Markas Al Aitam Padang Pak Amat, Pasir Puteh lemas.

Katanya, sebaik menerima laporan itu, tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa yang ditemui guru pengiringnya sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun kita dimaklumkan seorang daripada mangsa berusia 10 tahun meninggal dunia manakala seoang lagi dilapokan stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan 42 penghuni pusat penjagaan anak yatim bersama tiga guru pengiring ke pantai itu untuk berkelah pagi tadi – Hmetro