SUNGKAI – Pengiktirafan terbaru oleh akhbar perpengaruh dunia The New York Times yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat terhadap keunikkan Bandar Raya Ipoh merupakan satu pencapaian yang amat dibanggakan rakyat Perak dan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pengiktirafan antarabangsa itu merupakan bukti keberkesanan dasar yang diusahakan kerajaan negeri.

 cd2c359f-ee05-4970-bc90-f353543b7f71 (1)

“Rencana itu telah menyebut mengapa Ipoh perlu berada dalam radar pengembara seluruh dunia, mereka membuat satu analisis dan ianya satu pengiktirafan yang cukup mengharukan.

“Dengan adanya pengiktirafan seperti ini telah membuktikan bagaimana kita bangunkan Ipoh sehingga menjadi destinasi utama dunia, ini merupakan kejayaan kita semua termasuk masyarakat.

“Saya sering sebutkan bagaimana kita semua perlu menjaga negeri khususnya dalam aspek kebersihan walaupun dipandang sinis oleh beberap pihak,  akhirnya kita berjaya mencapai pengiktirafan ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian 115 geran tanah kepada peneroka Felda Besout 2, di sini pada Isnin.

Namun tambah beliau, usaha untuk membangunkan negeri serta bandaraya Ipoh khususnya dalam menjaga aspek kebersihan serta mengekalkan identiti uniknya itu tetap perlu diteruskan walaupun selepas diberi pengiktirafan berkenaan.

“Kita perlu secara bersama meneruskan apa yang dirancang, kekalkan kebersihan dan pastikan identiti-identiti yang membuatkan Bandaraya Ipoh ini sangat unik terus dipelihara, ia perlukan kerjasama semua pihak.

“Kita juga akan cuba bangunkan kawasan luar Ipoh yang belum diterokai secara mendalam seperti Tanjung Malim atau Batang Padang, insyaallah kita mempunyai keyakinan ia boleh dicapai serta dijadikan contoh,” ujar beliau.

Artikel bertajuk ‘Why Ipoh, Malaysia, Should be on your Travel Radar’ (Mengapa Ipoh, Malaysia, Harus Ada Dalam Radar Pengembaraan Anda) itu diterbitkan pada Rabu lepas.

Sebelum ini portal pengembaraan dunia, Lonely Planet turut telah memberi pengiktirafan kepada Ipoh dengan bandaraya itu di tempat keenam sebagai destinasi menarik di Asia untuk dikunjungi.

Selang beberapa bulan selepas itu, portal antarabangsa berkenaan telah meletakkan Perak antara 10 senarai wilayah terkemuka dunia untuk dilawati.