KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor tetap bertegas akan mengambil tindakan terhadap pengikut Syiah warga asing yang ditahan pihak berkuasa agama negeri jika mereka didapati bersalah.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata warga asing yang ditahan itu akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

“Kita ada enakmen dan enakmen itu akan mendakwa mereka ikut kepada bidang kuasa kita.

“Saya belum dapat laporan lanjut lagi,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amirudin berkata beliau akan mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Agama Islan Selangor (Jais) berhubung tangkapan ke atas pengikut Syiah yang menurutnya bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kita akan dapatkan laporan dari Jais dengan lengkap dan pendakwaan akan dibuat kepada mereka yang dianggap bersalah kalau ikut peraturan,” katanya.

Malam tadi, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan polis Johor menyerbu satu acara tertutup Syiah di Kempas dan difahamkan 8 orang ditahan, termasuk seorang warga Yaman dan 2 warga Singapura.

Manakala di Bandar Sunway, Selangor, pihak berkuasa Islam Selangor menyerbu acara tertutup yang dihadiri penganut Islam Pakistan bagi mengingati Hari Asyura, dalam tindakan keras berterusan terhadap pengikut Syiah yang disokong Amirudin.

Sebelum ini dilaporkan kedutaan Iran di Kuala Lumpur terpaksa campur tangan selepas seorang wanita negara itu ditahan apabila rumahnya di Ampang diserbu Jais semasa upacara tertutup memperingati Hari Asyura.

Syiah, fahaman Islam kedua terbesar yang mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Tetapi pihak berkuasa Islam negeri di Malaysia mengisytiharkan ajarannya sebagai “menyimpang” dengan khutbah di Selangor sering melabel pengikutnya sebagai sesat.

Dalam perkembangan lain, Amirudin menyerahkan kepada pihak Pejabat Tanah Selangor dan polis untuk menyelesaikan isu kebun haram yang diusahakan warga asing di Bukit Beruntung.

“Saya akan minta pihak pejabat tanah untuk selesaikan dan polis akan ambil tindakan,” katanya ringkas berhubung isu itu.