IPOH: Pengiring kepada Menteri Besar Perak, SM Azizi Hussin meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, jam 2.30 petang tadi.

Allahyarham yang mengalami jangkitan kuman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Baru Masjid Jammiur Makmur, Kulim, Kedah pada jam 10.30 malam tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di dalam status Facebook beliau menzahirkan dukacita atas pemergian Allahyarham Azizi.

“Dengan rasa hiba dan dukacita yang amat mendalam dimaklumkan bahawa SM Azizi Bin Hussin, Pengiring MB Perak meninggal dunia.

“Jenazah dibawa pulang ke Jammiur Makmur, Kulim di Kedah untuk dikebumikan malam ini,” katanya.

Menurutnya, Pejabat Menteri Besar Perak dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Mohon muslimin dan muslimat sedekahkan pahala surah Al fatihah buatnya dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-sebaik ganjaran syurga,” ujarnya.