KUALA LUMPUR: Hampir 77 tahun beroperasi, pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sungai Besi, dekat sini, akhirnya ditutup secara rasmi, hari ini.

Pernah dikenali sebagai Lapangan Terbang Sempang iaitu lapangan terbang pertama dibina di negara ini pada 1930 dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai operasi udara khususnya dalam konteks pertahanan.

Berdasarkan sejarah, lapangan terbang dengan kemudahan landasan sepanjang 273 meter itu awalnya ditubuhkan oleh British dan turut beroperasi sebagai lapangan terbang komersial.

Namun, atas dasar pertahanan ketika itu, ia kemudian dijadikan Pangkalan Udara Tentera British pada 1 jun 1941 dan dikenali secara rasmi sebagai Stesen RAF (Royal Air Froce Station).

Penubuhan sebagai Stesen RAF bagi memudahkan operasi udara di negara ini, selain bertindak sebagai pusat perhubungan dengan pangkalan tentera British di Seletar, Singapura ketika itu.

Malah, ketika penaklukan Jepun pada tahun 1942, pangkalan itu berfungsi sebagai pusat pertahanan RAF.

Pada 1 Ogos 1956, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkannya sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa serentak dengan perasmian pembukaan bangunan pangkalan baharu yang menjadikannya lapangan terbang komersial dan pangkalan bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP) pada 2 Jun 1958, sekali gus menjadi lapangan terbang pangkalan udara rasmi.

Pada 25 Oktober 1960, British secara rasmi menyerahkan pangkalan udara ini kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bagi kegunaan TUDP (kini TUDM).

Pada 1965, fungsinya sebagai lapangan terbang Kuala Lumpur ditamatkan dan hanya beroperasi sebagai pangkalan udara TUDM yang berperanan mengoperasikan skuadron penerbangan serta pertahanan udara.

Namun, semalam operasi pangkalan udara TUDM ini secara rasmi ditamatkan dan dipindahkan ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.

Perpindahan dan penempatan semula ini selaras usaha modenisasi dan menaik taraf fasiliti TUDM berdasarkan keperluan masa kini – berita harian