IPOH : Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata beliau bukanlah seorang pengkhianat apabila menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang.

Sebaliknya, kata Ahmad Faizal, pengkhianatan sebenar bermula apabila exco kerajaan negeri PH pernah cuba untuk menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar.

“Kalau disebut sekarang ni, orang seperti saya ni sebagai pengkhianat yang membelot mandat daripada rakyat.

“Kita seharusnya tidak lupa kepada mereka yang telahpun menduduki kerusi exco, mentadbir kerajaan negeri yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat tetapi lebih sibuk kepada usaha untuk menjatuhkan menteri besar dan juga kerajaan mereka sendiri, jadi pengkhianatan itu bermula di situ,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau dan rakan-rakan dalam Bersatu telah memikirkan perkara itu dan yakin gabungan baharu akan memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan kerajaan yang stabil.

Pada Disember 2018, dakwaan berhubung cubaan menjatuhkan kerajaan negeri dan Faizal sebagai Menteri Besar dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH.

Cubaan itu didakwa didalangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Ahmad Faizal ketika diminta mengulas perkara tersebut beberapa kali sering cuba menafikannya walaupun terus diasak.

Sementara itu, ketika ditemui selepas sidang media, beliau memberitahu, dengan pengumuman hari ini, semua jawatan Exco kerajaan negeri tergugur.

“Hari ini semua jawatan exco tergugur, cuma ada jawatan Menteri Besar,” ujarnya.