IPOH: Polis Perak menahan seorang pengkid dan memburu dua rakan lelakinya yang disyaki bertanggungjawab melakukan samun bersenjata dan melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM25,000 di Taman Arkid Mengelembu, dekat sini.

Remaja perempuan berperwatakan lelaki itu ditahan di sebuah rumah berdekatan lokasi dia melakukan jenayah itu.

Ketiga-tiga mereka turut melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai RM65,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata, ketiga-tiga suspek memecah masuk setelah berjaya mencapai kunci rumah menggunakan tangan yang terletak di tepi pintu.

Katanya, ketika kejadian pada 9 malam itu, anak lelaki mangsa berusia 13 tahun berada di rumah berseorangan manakala ibunya yang bekerja di kilang berhampiran, tiada di rumah.

“Salah seorang suspek mengacukan parang ke leher mangsa dan memintanya supaya mendiamkan diri.

“Dua suspek lagi menggeledah rumah dan menemui peti besi mengandungi wang tunai berjumlah RM25,000 dan pelbagai barang kemas.

“Kejadian samun itu dilakukan dalam tempoh kurang 15 minit,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, anak lelaki mangsa dikatakan berada dalam keadaan trauma ketika menemani ibunya yang berusia 34 tahun membuat laporan di balai polis Menglembu.

Katanya, polis kini giat memburu dua lagi suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Katanya, semakan mendapati suspek pengkid berusia 19 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.