IPOH : Seperti juga rakyat Malaysia yang lain, rendang, lemang, ketupat dan lontong adalah antara makanan kegemaran atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, bagi sambutan Hari Raya kali ini, mereka terpaksa ikat perut sedikit dan menahan nafsu kerana perlu menjaga diet pemakanan demi memastikan kejayaan Perak pada SUKMA yang dijadualkan 12 – 22 September depan.
Namun, bagi atlet yang ditemui, ia hanyalah satu pengorbanan kecil mereka untuk negeri Perak yang mereka cintai.
“Sebagai tuan rumah, kami juga mahu memastikan Perak boleh muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA tahun ini,” kata mereka penuh semangat kepada Suara Perak.
Atlet angkat berat, Faizwa Norazman, 19
yang berasal dan Lumut berkata, dia telah berlatih sejak tiga tahun lalu dan ini adalah SUKMA yang pertama baginya.

“Memang kegemaran saya lemang dan rendah tetapi saya perlu menjaga pemakanan, saya reda kerana saya mahu menang,” katanya yang mensasarkan pingat emas.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Fareez Mohameid, 19, pula berkata, dia akan balik ke kampung di Teluk Intan pada malam hari raya dan kembali menyambung latihan pada hari raya kedua.

“Sedikitpun saya tidak terkilan sebab ini hanya pengorbanan kecil, pengorbanan orang lain, termasuk jurulatih kami lagi besar,” katanya yang juga mensasarkan pingat emas dalam acara judo.

Bagi Ahmad Muhaimin Khairul Anuar, atlet angkat berat kategori 77 kilogram, walaupun terpaksa menyukat makan lontong kegeramaranya, ia tidak menjadi masalah kerana dia perlu menjaga diet pemakanan supaya sesuai dengan kategori yang ditandinginya.

“Saya juga perlu berusaha dan terus berlatih walaupun hari raya, untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya `Top 5’,” ujarnya sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakannya.

Seorang lagi atlet, Dean Powell, 19, setiap kali musim Hari Raya, dia akan mengunjungi rumah rakan-rakannya yang beragama Islam untuk menikmati juadah kegemarannya, rendang.

“Tahun ini nampaknya saya perlu kurangkan, kena berkorban sikit demi untuk membantu Perak muncul juara keseluruhan SUKMA kali ini,” kata anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut ini.

Bagi atlet sepak takraw wanita, Nurbatrisyia Afrina, 18 dari Batu Gajah, setiap kali Hari Raya, lemang dan rendang akan menjadi makanan kegemarannya.

“Walaupun dapat cuti seminggu hari raya ini, saya tetap perlu menjaga pemakanan dan terus berlatih sendiri untuk mengekalkan prestasi,” katanya yang bertindak sebagai feeder.

Rakannya, Norhidayah Salimi, 19, pula berkata, sebagai `killer’ dia juga perlu sendiri berlatih dan menjaga pemakanan supaya tidak terlalu `berat’ ketika pertandingan.

“Saya telah bermain sepak takraw sejak enam tahun lalu dan sebagai killer yang boleh membuat lipatan gunting di samping boleh juga membuat lipatan gulung, tapi berhemahlah,” katanya yang mula meminati sukan sepak takraw kerana sering mengikuti bapanya yang juga pemain sukan itu.

Bagi pemain bola jaring tinggi lampai, Khairunnisa Nazri, dia menanam keazaman untuk terus berlatih bagi menjaringkan seberapa banyak gol.

“Itu sebab dalam bulan puasa, kami berlatih seperti pagi petang setiap hari biasa manakala di hujung minggu pagi dan malam kerana sasaran kami ialah emas,” katanya yang mempunyai ketinggian 1.79 cm.

Rakan sepasukannya, Puteri Izahani Megat Shukri yang menjadi penyerang juga mahu meneruskan latihan seperti biasa walaupun dalam suasana hari raya.

“Bulan puasa atau hari raya, kami tetap berlatih seperti biasa, inilah sedikit pengorbanan kami untuk memastikan kejayaan negeri Perak yang kami sayangi,” ujarnya yang tinggal di Ipoh Jaya.