SERI ISKANDAR: Belia yang memiliki kekuatan dalaman seimbang menerusi penguasaan ilmu sains, teknologi, agama dan sivik merupakan intipati asas yang akan menentukan kejayaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, aspirasi TN50 bukan sekadar memberi fokus kepada pembangunan fizikal negara tetapi turut melibatkan kemajuan intelektual dan rohani rakyat yang mantap.

tn502

Menurut beliau, penguasaan ilmu secara seimbang itu penting bagi memastikan generasi TN50 mempunyai jati diri dan identiti yang kuat sejajar dengan kemajuan dari segi teknologi dalam masa 30 tahun akan datang.

 

“Kita nak wujudkan masyarakat yang seimbang, bukan hanya generasi intelektual tetapi juga kekuatan rohani.

 

“Kita nak lihat masyarakat mempunyai nilai-nilai yang dipandukan oleh agama, dipandukan oleh pemahaman sivik…kalau tanpa nilai ini kita hanya bina pembangunan fizikal tetapi kosong dari segi intipati asas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog TN50 di UiTM Seri Iskandar pada Rabu. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

tn503

Menurut Khairy, sebarang aspirasi khususnya dari golongan belia dalam TN50 juga hanya akan dapat tercapai jika rakyat dan pemimpin menerapkan semangat kebersamaan.

 

“Tapi semua aspirasi ini hanya akan menjadi kenyataan sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama berkongsi aspirasi ini, ia perlu menjadi aspirasi kita semua dan sama-sama kita kejar untuk jadikan ia sebagai kenyataan,” ujar beliau.

 

Beliau berpuas hati dengan aspirasi yang dilontarkan oleh para belia seluruh negara melalui dialog yang diadakan serta di beberapa platform dalam talian.

 

Katanya, kesemua aspirasi yang diterima akan dikumpul dan diletakkan berdasarkan keutaman sebelum dinilai oleh pakar-pakar.

 

Sesi dialog tersebut merupakan siri jelajah TN50 yang keempat diadakan selepas Terengganu, Johor dan Sabah.