KUALA LUMPUR : Keputusan kerajaan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, kastam dan imigresen disifatkan sebagai tindakan yang tidak mempunyai harga diri dan bermaruah.

Sambil menyelar keputusan tersebut, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan tidak patut memperlakukan pasukan keselamatan sebagai penjenayah atau robot yang tidak boleh dipercayai.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu insaf bahawa anggota polis, imigresen dan kastam adalah manusia bermaruah dan ada harga diri.

“Jangan malukan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, pelaksanaan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa bagi menangani salah laku.

Kata beliau, pelaksanaan itu penting berikutan terdapat dakwaan pegawai penguat kuasa memukul individu yang berurusan dengan mereka.

Dalam pada itu, Hassan yang juga Pengerusi PKR Johor menambah, banyak usaha lain yang boleh dilaksanakan untuk mencegah gejala rasuah, kebocoran dan ketirisan dalam pasukan keselamatan terbabit