TAPAH: Berdasarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017, seramai 14,940,624 warga Malaysia berdaftar sebagai pemilih yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Daripada jumlah itu pula, dikatakan terdapat hampir 2 juta pengundi yang bakal mengundi buat pertama kali pada PRU-14.

Mereka ini yang juga golongan muda dikatakan boleh menjadi antara faktor penentu kemenangan parti-parti yang bertanding.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat di sini, kebanyakan pengundi pertama begitu teruja untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menjelang hari mengundi 9 Mei depan.

Muhammad Farhan Sha’rani, 21, berkata, dia sangat teruja dan menganggap mengundi sebagai salah satu kewajipan sebagai warga negara Malaysia.

“Mengundi adalah kewajipan untuk memastikan siapa pemimpin kita dan mereka mestilah orang berwawasan yang boleh jaga kita rakyat jelata,” katanya kepada Suara Perak.

Bagi Mohd Hakim Ahmad Rosli, 23, dari Kampung Tanjung Keramat pula, dia sudah ada pilihan sendiri yang dirasakannya mampu membawa suara generasi muda.

“Saya sudah ada pilihan dan saya akan tetap mengundi pemimpin yang boleh mendengar suara anak muda,” ujarnya.

N.Viveekhanth, 28, mahu menggunakan peluang pertamanya mengundi untuk memilih calon yang boleh diharapkan

“Memang teruju sebab inilah kali pertama saya mengundi tetapi saya juga sudah ada calon dan saya yakin dengan calon itu,” katanya.

BERITA BERKENAANMujahid Kekal di Parit Buntar, Hasnul Cuba Nasib di Titi Serong