BAGAN DATUK: “Cukuplah…pengundi Cina jangan lagi terjebak dengan janji pembangkang,”.

Itu pesanan serta peringatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pengundi Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Menurut beliau sudah cukup mereka ditipu sebanyak dua kali pilihan raya dan tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berlaku lagi pada PRU kali ini.

Jelanya lagi kaum Cina perlu sedar bahawa pembangkang sejak menang besar pada PRU10 telah gagal melaksanakan janji kepada pengundi Cina dan sehingga kini keadaan tidak berubah.

“Cukuplah, pengundi Cina jangan terjebak lagi dengan janji-janji diberikan pembangkang, tengoklah janji mereka semula… cakap nak bagi air free (percuma) tapi tak dapat pun, cakap harga air tidak naik tapi naik juga, di Selangor sampai ada yang tidak mandi kerana krisis ketiadaan bekalan air.

“Jadi, berilah peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan kemampuan mereka membantu masyarakat Cina dan saya yakin masyarakat Cina sudah mula berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah menyempurnakan Majlis Penyerahan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada penduduk Kampung Bagan Pasir Laut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri merangkap ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ahmad Zahid berkata sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau sering mendapat pelbagai luahan daripada orang rami termasuk ketika melakukan turun padang di kawasan penempatan Cina seluruh negara.

Hasil daripada perjumpaan itu, katanyan, badan bukan kerajaan (NGO) Cina, persatuan perniagaan Cina, persatuan korporat Cina, telah membuat pengakuan mereka tidak mahu lagi tertipu dengan pembangkang pada pilihan raya umum kelak.

“Mereka bagi tahu saya mereka sudah ditipu dua kali pada PRU12 dan PRU13. Mereka bagi tahu saya kali ini orang Cina tidak mahu ditipu sekali lagi, mereka mesti dapat peluang pekerjaan, pendidikan dan keselamatan.

“Dari segi keselamatan saya jaga, pendidikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (jaga), perniagaan Perdana Menteri yang jaga.

“Perdana menteri sentiasa ambil berat mengenai perkara ini dan meminta saya dan Mahdzir untuk menjaga kepentingan semua kaum,” ujarnya lagi.

Mengenai penyerahan surat TOL, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata kerajaan negeri telah meluluskan pengambilan tanah melibatkan kawasan seluas 14.7 hektar milik syarikat Ghadaf Marble Sdn Bhd pada Februari 2018 lepas.

Jelasnya, pengambilan tanah itu melibatkan 214 rumah di Kampung Bagan Pasir serta empat pelantar.

“Berdasarkan permohonan tersebut, kelulusan TOL adalah bagi 135 lot rumah serta satu pelantar.

“Buat masa ini, saya sudah bagi tahu Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kewangan untuk meluluskan semuanya,” katanya.