BOTA: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengalu-alukan langkah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Nizar Jamaludin untuk membuat laporan polis kononnya terdapat 165,000 pengundi hantu di negeri Perak.

Dr Zambry berharap, Nizar dapat membuktikan satu persatu pengundi hantu yang dimaksudkannya.

“Dia kata nak buat laporan polis esok, saya alu-alukan dan dia kena buktikan satu persatu pengundi itu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Negaraku@Komuniti Peringkat Negeri Perak di padang SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Bota Kanan pada Ahad.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan ADUN Belanja, Datuk Drs. Mohd Nizar Zakaria.

Dr Zambry berkata, pembangkang tidak akan berhenti untuk terus menabur fitnah dan tohmahan walaupun penjelasan demi penjelasan diberikan kerajaan.

Menurut beliau, pembangkang akan terus menabur fitnah dan tohmahan kononnya kerajaan terlalu teruk dan negara akan bankrap.

Bagaimanapun, kata beliau, berdasarkan kajian sebuah syarikat terkenal, Price Water House, berdasarkan unjuran ekonomi dunia menjelang 2050, Malaysia adalah antara 32 negara yang akan menguasai 85 peratus ekonomi dunia.

Dr Zambry turut menempelak tohmahan pembangkang kononnya kerajaan tidak membantu rakyat.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), memberi contoh, sejak 30 tahun AIM telah memberi RM 30 bilion pinjaman mikro kredit kepada peniaga kecil, kebanyakannya wanita.

“Tidak ada kerajaan dalam dunia yang menyediakan pinjaman mikro kredit yang cukup besar,” ujarnya.

K1m 2

Sementara itu, Salleh di dalam ucapannya berkata, pelbagai program seperti Negaraku@Komuniti dapat dilaksanakan kerana Malaysia sebuah negara yang stabil.

Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 1,500 buah Komuniti 1 Malaysia (K1M) di seluruh negara, termasuk 108 di Perak dan 12 di Perak Tengah.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah kepada tujuh K1M di Perak di samping anugerah khas 2016 kepada empat K1M.

Sementara itu, Tok Sakna Bongsu Osman Khairi Abdul Talib dipilih sebagai Tokoh K1M Negeri Perak.