IPOH: Selepas dicabar dan diasak oleh Barisan Nasional (BN) Perak, akhirnya pakatan pembangkang akur dan membuat laporan polis berhubung isu kononnya wujud lebih 165,000 pengundi hantu di negeri ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin.

Mohammad Nizar berkata, laporan itu dibuat agar polis dapat menyiasat mengenai “penemuan” kira-kira 165,000 pengundi hantu yang kononnya dikesan oleh pihak pembangkang di negeri ini menerusi semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

9b2a50d0-2965-4e41-a9bc-d19a19c2737e“Kami mendapati terdapat 56,891 muka surat senarai nama pemilih yang dianggap sebagai pengundi hantu di mana jumlahnya diangarkan lebih kurang 165,000 orang.

“Kenapa kita takrifkan mereka sebagai pengudi hantu? Ini kerana ada umur mereka 104 tahun, alamat menghairankan dan ada juga Melayu yang menduduki kawasan kampung baharu,” katanya pada sidang media di IPD Ipoh di sini pada Isnin.

Namun, apa yang menghairankan, semasa membuat laporan polis itu, Mohammad Nizar yang disertai oleh rakan-rakannya dari pakatan pembangkang dilihat tidak membawa kotak-kotak kuning yang dibawa pada sidang akhbar sebelum ini. Kotak-kotak kuning itu didakwanya berisi bukti pengundi hantu.

Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan dakwaan kewujudan pengundi hantu tersebut sebagai permainan politik jahat pihak pembangkang.

Katanya, ia merupakan tindakan “desperado” (terdesak) pihak pembangkang untuk menfitnah Barisan Nasional (BN) dan mengelirukan rakyat.

Justeru Dr. Zambry yang juga Pengerusi BN Perak mencabar pihak pembangkang untuk menyerahkan kepada polis atau SPR, kesemua bukti pengundi hantu itu yang kononnya ada dalam simpanan pembangkang.

“Sila buat laporan polis secepat mungkin, kerana kita juga nak tahu sebenarnya hantu-hantu ini milik siapa?” ujar beliau.