KUALA KANGSAR – Kalangan pengundi wanita di Kuala Kangsar menyambut baik pemilihan Datin Mastura Yazid, isteri kepada Allahyarham  Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK).

Rata-rata mereka yang ditemui berpendapat Mastura mampu menyambung legasi kepimpinan arwah suaminya yang disayangi penduduk selaku wakil rakyat.

Tambah mereka, calon wanita juga bukan merupakan satu masalah dan perkara baru kerana sebelum ini Tan Sri Rafidah Aziz turut pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala kangsar.

Menurut Azizah Ahmad, 70, (kiri) beliau percaya Mastura mampu mengalas tanggungjawab yang diberikan sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar oleh penduduk setempat.

“Beliau kenal penduduk di sini dan kebanyakkan program yang dihadiri oleh arwah suaminya tentu dia ada sekali.

“Jadi saya percaya beliau telah pun memahami tugas wakil rakyat dan kebanyakkan penduduk setempat khususnya wanita selesa dengan beliau,” katanya.

Bagi Masaupi Kurnia, 63, (bawah kiri) pula, pemilihan Mastura membanggakan kaum wanita di Kuala Kangsar kerana ia juga membuktikan kaum itu turut diberi peluang untuk mencurah bakti pada rakyat.

 

“Pemilihan beliau amat membanggakan kami dan memberi semangat khususnya untuk wanita di sini.

“Saya percaya beliau akan terus membanggakan kami jika dipilih menjadi Ahli Parlimen, beliau

seorang lemah lembut dan penyayang selain merupakan seorang yang profesional.

Sementara itu Farah Adibah, 36, (kanan) berpandangan pemilihan calon wanita itu merupakan langkah tepat yang dibuat oleh BN bagi memastikan kemenangan pada PRK ini memihak kepada kerajaan.

 

“Pemilihan Mastura sebagai satu usaha bagi memastikan legasi arwah Datuk Wan diteruskan ini kerana arwah merupakan seorang individu yang disenangi penduduk tempatan selain seorang pemimpin berkaliber.

“Saya pernah berjumpa dengan Datin Mastura beliau turut mempunyai ciri-ciri yang sama seperti arwah suaminya iaitu peramah, lembut, murah dengan senyuman Dan mudah didekati. Pemimpin begitulah yang diperlukan penduduk di sini,” katanya