LUMUT: Proses pengundian awal warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan 11,223 anggota dan pasangan berjalan lancar bermula jam 8 pagi tadi, di dua pusat mengundi di dalam Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Dua pusat mengundi yang dibuka di Pangkalan TLDM adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM Lumut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM.

Warga TLDM dan keluarga mula membanjiri pusat mengundi seawal jam 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Menteri Besar yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut hadir meninjau proses pengundian.

Selain dua sekolah berkenaan, sebuah lagi pusat pengundian turut dibuka di Ruang Pejabat Am, Balai Polis Pangkor bagi DUN Pangkor.

Sementara itu, bagi DUN Pasir Panjang, tiga pusat mengundi yang dibuka adalah Bilik Mesyuarat Stesen Komunikasi TLDM Sitiawan, Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Kampung Acheh.

Parlimen Lumut mempunyai pengundi awal paling ramai di negeri ini, dengan 11,900 pengundi berdaftar daripada 37,407 orang yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

BERITA BERKENAANStatus Bebas Cukai Beri Nilai Tambah Pulau Pangkor

1/7