IPOH: Peningkatan pengunjung yang mendadak di Taman Tema Animasi Studio (MAPS) akhir-akhir ini memberi petunjuk bahawa ia masih relevan dan tidak perlu dihentikan operasinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengurusan MAPS telah menunjukkan prestasi terbaik dan cukup membanggakan dengan pelbagai usaha promosi bagi menarik pengunjung ke Perak amnya dan Ipoh khususnya.

“Saya menerima baik pandangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri seperti ini dan apa juga perkara, pada pandangan saya secara peribadi jika berterusan promosi dan usaha, ianya dapat dijadikan tarikan utama di Ipoh.

“Mungkin kita boleh fikirkan tentang menarik pelaburan baru dari pihak swasta, tetapi untuk menutup (MAPS)… saya fikir bukan masa yang sesuai untuk difikirkan.

“Kalau sesuatu perkara itu merugikan Kerajaan dan kita perlu ambil tindakan drastik seperti menutup, kita akan fikirkanya, tapi buat masa ini dari segi faktanya jumlah pengunjung meningkat jadi ianya perlu diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan AirAsia Airbus A320 yang tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming yang mencadangkan agar MAPS dijual kepada pihak swasta.

Kor Ming berkata, cadangan itu dibuat bertujuan mengurangkan beban hutang Kerajaan memandangkan taman tema itu masih gagal membawa keuntungan.