IPOH: Kerajaan negeri akan memberi perhatian khusus untuk memastikan semua perbelanjaan adalah mengikut keperluan pada harga kos sebenar, susulan pengurangan berbelanjaan pembangunan sebanyak lima peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, pengurangan itu adalah kecil berbanding dengan ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional yang didakwa mencecah sehingga 30 peratus.

Beliau merujuk kepada kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada Januari 2017 bahawa antara 10 hingga 30 peratus dana kerajaan terdahulu hilang akibat dari ketirisan dan salah urus tadbir di samping kira-kira 20 hingga 30 peratus nilai projek hilang kerana amalan rasuah.

“Oleh itu, saya percaya pengurangan bajet pembangunan sebanyak lima peratus ini tidak akan memberi impak negatif yang begitu ketara, jika dibandingkan dengan dakwaan ketirisan besar yang telah berlaku di bawah pentadbiran sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Beliau memberi contoh, hasil semakan ke atas laporan kewangan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri Perak, menunjukkan berlakunya ketirisan akibat perjanjian-perjanjian oleh pengurusan sebelum ini yang bukan sahaja berat sebelah, malahan merugikan GLC terbabit.

Ahmad Faizal berkata, salah satu GLC yang dimaksudkan adalah Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di mana prestasi kewangan PPPNP dan margin keuntungan berkurang dari sebanyak 23% (2012) kepada 5% (2017).

Katanya, semakan juga mendapati hutang jangka panjang PPPNP juga telah meningkat daripada RM3 juta (2012) kepada RM100 juta (2017), lonjakan sebanyak 97 peratus dalam tempoh lima tahun, manakala rizab tunai PPPNP juga merosot daripada RM230 juta (2012) kepada RM105 juta (2017).

Beliau menambah, isu yang sama juga melibatkan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) di mana kutipan fi komitmen yang dianggarkan berjumlah RM50 juta telah dibelanjakan oleh pentadbiran terdahulu bagi tujuan pengurusan, meninggalkan baki kurang daripada 5 peratus.

“Semakan terhadap beberapa perjanjian menunjukkan empat projek dengan pihak ketiga gagal menjalankan operasi dan pentadbiran baharu telah mengambil tindakan untuk memulihkan kembali kedudukan kewangan GLC selepas merombak pihak pengurusan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, antara tindakan awal yang telah diambil adalah menjalankan audit ke atas MB Inc, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh pengurusan sebelum ini sejak tahun 2012.

Menurutnya, audit oleh pihak Jeffrey & Co menunjukkan MB Inc telah mencatatkan kerugian berjumlah hampir RM40 juta untuk tahun kewangan di antara tahun 2012 hingga tahun 2015. Audit untuk tahun kewangan 2016 dan 2017 masih dijalankan.

“Apa yang mengejutkan, biarpun mencatatkan kerugian saban tahun, pihak pengurusan sebelum ini tetap meluluskan pembayaran bonus, berbelanja besar untuk aktiviti retreat sehingga ke luar negara dan pembelian kenderaan mewah,” tambahnya.

Katanya, pihak pengurusan MB Inc yang baharu dilantik telah mengambil langkah untuk mengurangkan kos operasi sehingga 50 peratus dan menyemak semula perjanjian-perjanjian yang merugikan MB Inc dan kerajaan negeri.