MELAKA – Seorang pengurus bar dipenjara 40 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah atas 20 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan kerugian sebanyak RM64,620.25 pada awal tahun ini.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, C. Baldev Singh, 37, yang mengangguk faham dan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai Pengurus Rock Bottom Kitchen & Bar didapati telah melakukan pecah amanah dengan jumlah keseluruhan RM64,620.25 di Rock Bottom Kitchen & Bar, kompleks beli-belah The Shore sekitar 21 Februari hingga 12 Mac 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan bolehlah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak Norma menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 22 Mac 2017. – K! ONLINE