TELUK INTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membebaskan dan melepaskan seorang pengurus ladang daripada tuduhan menculik dan menyembunyikan pasangan suami isteri yang menjadi saksi kes memperdagangkan orang dan penyeludupan migran pada Mac tahun lalu.

Hakim Norita Mohd Ardani membuat keputusan untuk tidak memanggil L Ganis, 43, membela diri selepas berpuas hati dengan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan itu.

Ganis didakwa menculik P Sundaram, 37, dan K Shanti, 41, di hadapan Kedai Runcit Sri Vathi, Pengkalan Hulu, antara jam 3 hingga 4 petang, pada akhir Mac tahun lalu

Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Ganis turut didakwa menghantar pasangan berkenaan ke sebuah rumah kongsi di Ladang Kalvi Felda Bukit Besout 1, Sungkai, pada masa dan tarikh sama untuk disembunyikan daripada memberi keterangan terhadap tertuduh bagi kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam, M Haresh dan Ramzani Idris – berita harian