TELUK INTAN, 10 Ogos (Bernama) — Seorang pengurus ladang yang sebelum ini berdepan pertuduhan memperdagangkan 15 individu sebagai buruh paksa, dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menculik dan menyembunyikan dua individu yang merupakan saksi kes berkenaan pada hujung Mac lalu.

Tertuduh L. Ganis, 43, berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan penculikan dan mengurung secara salah pasangan suami isteri, P.Sundaram, 37, dan K. Shanti, 41, di hadapan kedai runcit Sri Vathi di Pengkalan Hulu, Hulu Perak, kira-kira 3 petang, hujung Mac lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang diperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh juga didakwa telah menyembunyikan kedua-dua mangsa di sebuah rumah kongsi di Ladang Kalvi Felda Bukit Besout 1, Sungkai, bagi mengelakkan mereka memberi keterangan terhadap tertuduh bagi kesalahannya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 3 hingga 4 petang, hujung Mac lalu, di tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar meminta mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang ikat jamin ke atas Ganis kerana bimbang tertuduh ada kecenderungan mengganggu mangsa dan keluarganya.

Tertuduh diwakili peguambela S.Muthuveeran.

Norita kemudian memutuskan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes disebut semula pada 11 Sept.

Pada 24 Mac lalu, Ganis dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas 15 tuduhan memperdagangkan 15 individu termasuk dua remaja lelaki, berusia lingkungan 13 hingga 66 tahun bagi maksud eksploitasi buruh paksa sejak April tahun lalu.

— BERNAMA