CHUKAI: Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan isterinya, direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia bagi membolehkan semua suspek membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan nilai dianggarkan RM5.4 juta pada 2010 hingga 2017.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Badrul Munir Mohd Hamdy, hari ini.

Suspek berusia 59 tahun dan isterinya, 52, direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pasangan itu ditahan dalam operasi khas dijalankan serentak di beberapa lokasi di Terengganu dan ibu negara semalam.

Turut ditahan lima ahli keluarga dan proksi selepas semuanya disyaki menyalah guna kuasa dan terbabit dengan rasuah – berita harian