IPOH 13 Julai – Tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah milik pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias bersama kerajaan negeri sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, tiada tindakan dibuat oleh pengurusan pusat berkenaan meskipun telah dimaklumkan bahawa beliau boleh dihubungi pada bila-bila masa untuk berbincang.

Katanya, beliau hanya mengetahui masalah yang dihadapi oleh Unit Tahfiz pusat tersebut melalui laporan oleh media massa.

“Kalau ada masalah dan perlukan bantuan, sila datang dan beritahu. Setakat ini saya hanya tahu melalui media, perincian apa yang berlaku dan masalah sebenar pun saya tidak tahu.

“Kita juga tidak mempunyai maklumat sama ada mereka ada mendapat bantuan kerajaan atau agensinya. Saya tidak banyak tahu mengenai perjalanan Al Barakah,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE