LUMUT: Pengurusan bersifat holistik yang diamalkan kepimpinan UMNO negeri merupakan kunci kejayaan pentadbiran di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, konsep pengurusan di era ini bukan lagi berkisar kepada ilmu pengurusan yang biasa namun ianya menjangkaui aspek pentadbiran semata-mata.

“Konsep pengurusan yang diterjemahkan (UMNO negeri) bukan hanya berkisar kepada pengurusan ilmu biasa dalam pentadbiran, tetapi ianya mempunyai dimensi politik yang lebih besar.

“Secara rangkumannya, terdapat tiga perkara iaitu pengurusan persepi, emosi dan juga padang (turun berjumpa rakyat), Alhamdullilah kita di Perak itu antara lainnya yang kita uruskan,” katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Lumut di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak merangkap Bendahari UMNO.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Salleh yang memuji kesiapsiagaan UMNO negeri menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan kejayaan pentadbiran negeri membangunkan Perak.
Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan Ketua UMNO Bahagian Lumut dalam ucapannya pula mengesa semua ahli UMNO serta parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional untuk terus bersatu walaupun terus diserang pembangkang.

Jelas beliau, sifat penyatuan itu merupakan asas kekuatan BN yang tidak dimiliki oleh mana-mana parti pembangkang di negara ini.

“Mereka ingat kita (UMNO) akan bergaduh sesama sendiri, rebah selepas beberapa individu keluar dari parti, tapi sebaliknya yang terjadi di mana kita terus bersatu dan kukuh.

“Sebab itu puak-puak pembangkang ini sakit hati, (BN) tidak pecah-pecah walaupun dicuba dengan pelbagai cara,” ujarnya.