KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 6 Julai depan untuk pengurusan kes saman 47 bekas kakitangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang diserapkan ke dalam Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS), terhadap badan dan syarikat konsesi berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Muhamad Syaahrul Nizam Mohd Rabi yang mewakili kesemua bekas kakitangan terbabit selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Norhatini Abdul Hamid.

Beliau berkata, kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin.

Pada 30 April lalu, kesemua bekas kakitangan terbabit memfailkan saman dengan menamakan LLM dan PLUS sebagai defendan pertama serta kedua.

Semua plaintif mendakwa mereka adalah bekas kakitangan LLM yang diarahkan supaya diserapkan ke dalam PLUS yang mengambil alih Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad.

Plaintif juga mendakwa 33 daripada mereka masih berkhidmat dengan defendan kedua, manakala selebihnya sudah bersara.

Plaintif mendakwa sekitar 1988, mereka diarah meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat dengan LLM serta menerima tawaran bekerja dengan defendan kedua bagi melaksanakan Rancangan Penswastaan PLUS.

Akibat tindakan defendan itu, mereka mendakwa tidak diberi pilihan dan dipaksa menerima tawaran berkenaan serta wujud unsur penipuan kerana tidak dimaklumkan terma lengkap kontrak tawaran kerja.

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Fasal 19.21.1 Terma dan Syarat Perkhidmatan Untuk Kakitangan Bukan Eksekutif LLM (Skim B) adalah tidak sah, terbatal dan bertentangan dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Artikel 51 Perjanjian Bersama Keempat Antara LLM dengan Kesatuan Pekerja LLM adalah tidak sah dan terbatal.

Semua plaintif turut memohon perintah deklarasi bahawa mereka berhak di sisi undang-undang untuk menerima skim faedah persaraan tanpa sebarang penolakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di pihak majikan dan faedah terkumpul atau dividen terkumpul.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa mereka berhak menerima pencen, ganjaran atau faedah lain, termasuk caruman KWSP di pihak majikan sebanyak 13 peratus.

Selain itu, mereka memohon deklarasi bahawa caruman KWSP majikan sebanyak 11 peratus yang diberikan kepada PLUS adalah pengurangan manfaat pekerjaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mereka turut memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah – berita harian