IPOH : Pengurusan kes saman pemula seorang individu terhadap kerajaan Perak berhubung isu hak milik kekal tanah 999 tahun bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Laila Mohamed Nazil kemudiannya menetapkan 23 Mac depan untuk tarikh baru pengurusan kes.

Pada 14 Januari lalu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin yang mengemukakan saman pemula terhadap kerajaan negeri untuk tidak membuat sebarang keputusan berkaitan isu hak milik kekal tanah 999 tahun.

Aswanudin berkata, selain Gagasan Melayu Perak yang telah memohon untuk mencelah sebagai plantif kes tersebut, beberapa pertubuhan kerajaan lagi telah menyatakan hasrat untuk turut mencelah.

“Setelah hampir sebulan daripada tarikh 14 Januari saya buat saman pemula, hari ini kes sudah berjalan.

“Ada orang tanya saya, mengapa senyap, saya (main) wayang ke, sebab tiba-tiba dah senyap.

“Sebenarnya tak, kita menunggu proses sebab kita menjunjung rule of law, kedaulatan undang-undang, jadi kita ikut.

“Di pihak saya dan peguam, kita amat-amat yakin dan kita pun bersedia terhadap saman kita terhadap kerajaan negeri Perak dalam isu kes hak milik kekal 999 tahun,” katanya.

Beliau ditemui dipekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis.

Sementara itu, peguam plantif, K Jeyaraj berkata, pihaknya akan membalas afidavit jawapan yang dikemukakan pihak kerajaan negeri pagi ini.

Selepas itu, katanya, pihak kerajaan negeri diberi peluang sekali lagi untuk menjawap afidavit balasan tersebut.