IPOH: Pihak pengurusan masjid di Perak diminta lebih kreatif untuk menarik lebih ramai jemaah, khususnya anak muda datang mengimarahkan masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai lambang syiar Islam, usaha perlu dibuat untuk mengangkat martabatnya.

Bagaimanapun, kata beliau, masjid bukan hanya tempat beribadah tetapi boleh menjadi tempat pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Institusi masjid adalah lambang syiar Islam yang perlu disemarkkan untuk menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program Cintaku Di Karnival Street Dakwah di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Drs Nizar berkata, pihak pengurusan masjid juga perlu memastikan rumah Allah itu terus menjadi lambang perpaduan dan mengelakkan sebarang perpecahan.

Di samping itu, ujar beliau, masjid juga perlu dimanfaatkan sebagai tempat percambahan ilmu dan pertukaran idea untuk memajukan lagi umat Islam.

Beliau berharap, program Street Dakwah yang dianjurkan Masjid Sultan Azlan Shah akam dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat sekeliling, khususnya di kalangan generasi muda.