IPOH: Pengurusan pasir negeri Perak yang dilaksanakan oleh MB Inc diiktiraf sebagai pengurusan terbaik di Malaysia oleh Jabatan Audit Negara dan disaran dijadikan model untuk digunapakai di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, Perak menjadi negeri pertama yang menggunakan sistem E-Doket.

Menurut beliau, penggunaan sistem itu bertujuan memudahkan kerja-kerja pengurusan dan pemantauan sumber mineral seluruh negeri.

Beliau berkata, dengan adanya pengurusan pasir yang sistematik itu, hasil kutipan royalti kerajaan negeri bagi bahan batuan meningkat sebanyak dua kali ganda antara 2014 – 2016.

“Ianya terbukti dapat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan ketirisan di mana royalty pasir yang dikutip dari tahun 2012 hingga 2017 ialah sebanyak RM45.5 juta,”

katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurutnya, MP4 juga diberi kuasa oleh kerajaan negeri untuk melesenkan semua aktiviti dan perkhidmatan di pesisir pantai perak termasuk mengenakan levi yang sesuai.

“Pelesenan aktiviti dan perkhidmatan di pesisir pantai Pperak ini membolehkan kerajaan negeri menyelaraskan pembangunan dan aktiviti yang dijalankan bagi memastikan keselamatan pesisir pantai perak dipelihara serta isu-isu alam sekitar ditangani dengan sewajarnya,” kata beliau.

Zahir memberitahu, MB Inc juga telah melaksanakan pembangunan hartanah yang bertanggungjawab di mana beberapa projek yang tidak diganggu dan disabotaj berjalan dengan lancar.

Katanya, antara projek itu ialah Pusat Komersial Ipoh SOHO2, 397 unit rumah PR1MA di Bidor, 340 unit Rumah Amanjaya 2 di Manjung dan 690 unit rumah mampu milik di Taman Klebang.

Di samping itu, tambah beliau, MB Inc turut terlibat dalam penyelenggaraan Empangan Sultan Azlan Shah bagi tujuan mendalamkan sungai dan empangan bagi mengekalkan tahap takungan air yang mencukupi bagi bekalan di sekitar Hulu Kinta.