Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menggesa pihak sekolah untuk menjalankan pemantauan aktif dan berterusan terhadap perilaku tenaga pendidik, khususnya yang berstatus sambilan, untuk mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Timbalan Menteri II, Datuk Chong Sin Woon berkata, tindakan itu sewajarnya diamalkan oleh pihak pengurusan sekolah ke atas semua tenaga pengajar yang sentiasa berada dekat dengan pelajar.

Ketika diminta mengulas mengenai kematian seorang jurulatih sambilan yang menjadi suspek kes cabul dan liwat tiga pelajar di sini pada minggu lalu, beliau berkata, kementerian atau jabatan semestinya memeriksa latar belakang calon guru sambilan namun ia tidak menjamin mereka tidak akan terlibat dalam salah laku.

“Kita pastinya akan memeriksa latar belakang (calon-calon) baik guru sambilan atau tetap, namun pemeriksaan teliti pun tidak akan menjamin tidak akan berlakunya sebarang perkara tidak diingini.

“Walaupun guru tersebut mempunyai rekod yang bersih tetapi insiden tidak diingini masih boleh berlaku sekiranya mereka tidak dipantau dengan teliti, apatah lagi jika mereka dekat dengan anak-anak kita,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek dalam Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) di Dewan SMK Ave Maria Convent di sini pada petang Isnin.

Menurut Sin Woon, pihak pengurusan sekolah dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti garis panduan yang telah diberikan untuk mengetahui jika berlaku sebarang perubahan emosi dan fizikal pelajar.

Beliau berkata, KPM juga telah mewujudkan beberapa jenis penilaian khusus untuk mengetahui tahap psikologi pelajar.

“Itulah sebabnya kita ada ujian psikometrik. Ia adalah untuk mengetahui status psikologi pelajar supaya kita boleh memantau sama ada berlaku kemurungan atau kecenderungan untuk membunuh diri dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sin Woon turut menjawab mengenai kes seorang pelajar perempuan yang dibuli di dalam kawasan sekolah oleh beberapa orang pelajar perempuan di Kunak yang tular di media sosial ketika ini.

“Banyak yang telah kita lakukan termasuklah melibatkan pihak sekolah, ibubapa, mangsa atau pembuli. Kita juga melibatkan PDRM dan guru kaunseling. Malah, kita sudah menyediakan Standard Pematuhan Piawaian ( SOP).

“Kita telah bersetuju untuk memberi penekanan serius dan SOP 137 memperuntukkan pada hari pertama kejadian kena ada laporan, pada hari ketiga ada tindakan sekurang-kurangnya dari sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

“Dalam masa tujuh hari, insiden tersebut perlu diselesaikan. Selain itu, adanya sistem pelaporan kes buli secara atas talian yang lebih cepat, jitu dan tidak menyembunyikan apa-apa atau telus,” katanya lagi.

Sin Woon berkata, pelajar turut digalakkan untuk membuat laporan buli atau salah laku di sekolah dan dimasukkan ke dalam peti aduan yang ditempatkan di setiap sekolah, tanpa meletakkan nama dan maklumat mereka.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu membantu menyelesaikan isu buli di sekolah masing-masing dan kementerian sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang cadangan bagi mengekang gejala sosial tersebut.