IPOH: Kerajaan negeri Perak menggesa semua pengusaha hotel untuk tidak mengambil mudah isu penarikan sijil Halal daripada sebuah hotel terkemuka di sini dengan memastikan operasi penyediaan makanan dijalankan dengan telus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, YB Tan Kar Hing ketika dihubungi telah mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan menegaskan ianya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Kar Hing berkata, perkara tersebut secara tidak langsung menggambarkan kepincangan kerjasama yang baik di antara kerajaan negeri dan pemain industry pelancongan yang sepatutnya membincangkan sebarang masalah secara kolaborasi.

“Hotel merupakan satu entiti yang melambangkan imej negeri kepada masyarakat dan juga pelancong, saya harap amaran dan peluang yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Negeri Perak (JAKIM) akan diambil secara serius.

“Kita akan memantau secara kerap bukan sahaja mengenai isu pensijilan Halal di mana-mana premis berfokuskan hospitality dan perkhidmatan, tetapi juga dari segi perlanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis untuk aktitviti tidak berfaedah, dan saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,”katanya ketika dihubungi pada petang Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai sebuah hotel berhampiran Greentown Ipoh, telah dikenakan tindakan penarikan sijil Halal oleh berikutan laporan pihak pengurusan menghidangkan makanan tidak halal kepada orang ramai di aras 5, bangunan tersebut.

Bagaimanapun,penarikan sijil halal pada 27 April itu akhirnya diselesaikan dengan cara yang baik dan rayuan mereka akhirnya diterima pakai untuk menggunakan logo symbol Halal untuk operasi makanan.

Menurut Kar Hing, susulan insiden itu pihaknya akan bekerjasama dengan erat bersama agensi-agensi yang mengesahkan taraf halal di sesebuah premis seperti Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Katanya, pemeriksaan teliti serta berkala juga akan dilaksanakan di hotel-hotel yang memiliki entiti perniagaan makanan bersama Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) bagi memastikan kebersihan premis berkenaan.

“Tiada istilah, mengamalkan sikap tidak bertolerasi sesama kita dengan menjalankan perniagaan berasaskan keuntungan tetapi terleka dengan kewajipan kita kepada rakan-rakan Muslim yang lain,tiada gunanya untuk menjadi seorang alim tapi tidak beradab,”katanya lagi.