AYER KEROH: Seorang pengusaha kereta sewa berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga penyewa kereta dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh, Shamsuri Mohamad, 48, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lim Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan melanggar mangsa, Yuliana berusia 40 tahun dengan memandu PERODUA Myvi bernombor pendaftaran MCE4216 sehingga menyebabkan kematian.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di kawasan tambak pasir Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, pada jam kira-kira 11.20 pagi hingga 1 tengah hari, pada 4 Jun 2018.

Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi bagaimanapun tidak mencadangkan jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang lengkap berpakaian lokap berwarna jingga bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen – berita harian