IPOH: Pengusaha premis makanan di negeri ini digalakkan untuk mendapatkan sijil pengiktirafan “Bersih, Selamat dan Sihat” (BeSS) dalam menyediakan makanan yang selamat serta sihat kepada pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, program pensijilan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan bahkan memperlihatkan inisiatif pengusaha makanan bagi menjaga kualiti dan mutu menu yang disediakan.

Menurut beliau, BeSS adalah percuma dan para pengusaha premis makanan boleh dapatkannya secara sukarela, tanpa paksaan untuk dapatkan sijil tersebut.

“Saya lihat ia sebagai langkah ke hadapan kerana secara tidak langsung orang ramai boleh tahu mereka sendiri berusaha untuk dapatkan pengiktirafan BeSS.

“Selain itu para pengusaha premis turut bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang bersih dan dapat mengurangkan kes keracunan makanan,” katanya merasmikan Seminar Keselamatan Makanan Peringkat Negeri Sempena Tahun Melawat Perak di Aeon Mall, Klebang, Ipoh pada Sabtu.

Hadir sama Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Rahimi Goon dan Timbalan Pengarah Kesihatan Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Leong Siew Hong.

premis makanan 2

Sementara itu, Leong berkata setakat ini sejumlah 136 pengusaha premis makanan telah dianugerahkan pengiktirafan BeSS.

Menurutnya, ia adalah program penambahbaikan terhadap program pemantauan sedia ada yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dengan adanya pengiktirafan BeSS, orang ramai khususnya pelanggan boleh memilih dan membandingkan premis mana yang lebih baik dari segi persekitaran dan menu yang disajikan.

“Langkah sebegini bukan perkara asing kerana sudah pun dilaksanakan di negara lain seperti Jepun dan sebagainya, ” jelasnya.

Seminar yang berlangsung dari 3 hingga 5 Mac ini bertujuan untuk menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan makanan dan garis panduan kepada pengusaha pengendali makanan.

Ia turut menghimpunkan pengusaha dan pengendali makanan dalam kalangan restoran, gerai, medan selera, kedai makan, hotel serta orang awam.

 

premis makanan 4premis makanan 3