IPOH: Pengusaha pusat asuhan kanak-kanak (Taska) boleh menolak kehadiran kanak-kanak yang didapati mempunyai masalah kesihatan. 

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, perkara itu tidak menjadi satu kesalahan, untuk mengelakkan berlaku kes-kes tidak diingini, termasuk kematian di pusat jagaan. 

Menurutnya, berdasarkan Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012,  pengusaha boleh pada bila-bila masa enggan menerima masuk kanak-kanak yang disyaki dijangkiti penyakit, sehinggalah diperakui sihat oleh pegawai perubatan. 

“Ini yang perlu kita beri penekanan terutama bagi penyakit berjangkit seperti demam, selesema, penyakit kulit dan chicken pox kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Dalam hal ini, ibu bapa juga memainkan peranan pastikan anak-anak sihat apabila diserahkan kepada penjaga, kita kalau boleh tidak mahu ada elemen saling menyalahkan bila berlaku sesuatu kes,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau ditemui selepas mengadakan pemeriksaan ke sebuah taska di Bandar Seri Botani, di sini susulan kematian seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, Jumaat lalu. 

Bayi itu disahkan meninggal dunia selepas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika diambil oleh ibu bapanya daripada taska berkenaan. 

Polis memaklumkan punca kematian mangsa, Muhamad Akif Iskandar Meor Ikram adalah disebabkan masalah paru-paru berair. 

Ruhaini berkata, dalam kes tersebut, pengusaha mendakwa  mereka tidak dimaklumkan keadaan kesihatan sebenar bayi itu. 

Menurutnya, hasil siasatan JKM juga mendapati, tiada sebarang unsur kecuaian atau ketidakpatuhan dalam menjaga kanak-kanak terbabit. 

“Sebab kematian mangsa telah disahkan dan ia bukan disebabkan elemen penderaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ruhaini memberitahu, pemeriksaan dilakukan adalah untuk memastikan taska berkenaan tidak beroperasi selepas perakuan pendaftarannya tamat tempoh Januari lalu. 

Menurutnya, pihaknya mendapati kelewatan itu bukan disengajakan kerana mereka dalam proses untuk melengkapkan dokumen diperlukan. 

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, taska tersebut tidak dibenarkan beroperasi sehingga mendapat perakuan pendaftaran baru daripada JKM.