IPOH: Seorang peniaga ayam berdepan hukuman gantung sampai mati setelah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang ibu tunggal di Taman Dato Lew Yan Sip baru-baru ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh, Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hamidah Abdul Rahman, 53, di sebuah rumah di Taman Dato Lew Yan Sip di sini antara pukul 12.01 tengah malam hingga 5 pagi pada 13 Mac lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili peguam Ashvinder Kaur.

Semasa perbicaraan, Ashvinder memohon supaya anak guamnya dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan.

Mahkamah menetapkan tarikh 20 April depan untuk sebutan semula kes.