KUALA KANGSAR: Seorang peniaga dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis, dari tuduhan merogol seorang remaja berusia 17 tahun pada 2014.

Hakim Niran Tan Kran membuat keputusan membebaskan Mohammad Shariff Saad, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol seorang remaja perempuan di dalam kawasan kebun kelapa sawit di Manong, di sini, pada 5 Ogos 2014 kira-kira jam 9.30 malam.

Niran berkata, selepas meneliti dan menimbangkan secara maksimum saksi dan bukti yang dikemukakan serta hujah pihak pendakwa dan pembelaan, mendapati kes pendakwaan sebahagian besar hanya bergantung kepada keterangan saksi yang juga mangsa dalam kes berkenaan.

Menurutnya, keterangan mangsa didapati banyak bercanggah selain tidak disokong dengan keterangan lain, maka mahkamah memutuskan tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa perlu membela diri.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Abdul Hamid.