KOTA BHARU: Seorang peniaga berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang kontraktor, tujuh tahun lalu.

Tertuduh Syaiful Afikin Mohd Firus, 41, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa bersama-sama membunuh Saw Yiew Siang, 56, di kebun dekat Kampung Kubang Palas, Binjai, di sini antara 8 malam, 3 Oktober 2011 hingga 7.30 pagi, 4 Oktober 2011.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood, manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Nasir.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos depan untuk laporan bedah siasat mangsa.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kontraktor ditemui mati dalam keadaan menyedihkan apabila kepalanya dibungkus dengan kain manakala, kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang di kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai.

Mayat ditemui sepasang suami isteri ketika mereka hendak mengutip sayur-sayuran di kebun itu.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji, pada jam 3.30 pagi, 11 Jun 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam Azahir.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta beberapa syarat tambahan dan menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes – berita harian