Subscribe Now

Trending News

Peniaga Didakwa Miliki Senjata Api Tanpa Lesen, Tiruan
Dalam Negeri

Peniaga Didakwa Miliki Senjata Api Tanpa Lesen, Tiruan 

IPOH – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan pada minggu lalu.

Tertuduh, Lew Soon Aun, 47, turut didakwa bagi pertuduhan ketiga selepas dia gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya.

Tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan iaitu memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Salwa Ja’afar.

Soon Aun bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan kepada pihak berkuasa.

Mengikut pertuduhan pertama, Soon Aun dituduh memiliki senjata api tanpa lesen atau permit di Kafe Andy and Queen, Jalan Bercham di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 23 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 iaitu memiliki senjata api tiruan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 apabila gagal mempamerkan kad pengenalan diri kepada pihak berkuasa.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama dengan pertuduhan pertama.

Siti Salwa membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Kes akan disebut semula pada 19 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Erna Julieza Maaras manakala tertuduh pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman
Kebangsaan (YBGK), E.P. Seeralasittan. – K! ONLINE

Related posts