KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana membunuh seorang lelaki di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hampir tiga tahun lalu.

Mohamad Zulkifli Ismail, 53, didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pencari besi, Zulkefle Abdullah, 37, di kawasan sebuah rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh, jam 10.30 pagi pada 7 Disember 2015.

Bapa kepada tiga anak yang didakwa mengikut Seksyen 326 kanun sama turut dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana mendatangkan cedera parah kepada Faizul Awang, 34, yang kudung kaki kanan di tempat, waktu dan hari yang sama.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan tindakan tertuduh mempertahankan diri kerana dia yang menyerang mangsa, selain lokasi kejadian tidak berpagar dan membolehkannya melarikan diri jika benar diserang.

“Ketika kejadian, tertuduh mempunyai telefon bimbit, namun tidak digunakan untuk meminta pertolongan dan tertuduh boleh melarikan diri dan meminta tolong sekiranya diserang kerana ia berlaku berhampiran jalan utama.

“Pihak pembelaan mendakwa wujud provokasi sedangkan jarak antara dua mangsa dan tertuduh agak jauh, maka tidak timbul isu provokasi.

“Tertuduh mendakwa perbuatan mencederakan mangsa tidak disengajakan, namun keterangan dan siasatan mendapati tikaman di dada kanan kedua-dua mangsa disengajakan,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Syazwani Zawawi, manakala tertuduh diwakili peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ariff Azami Hussein.

Zainal Azman berkata, keputusan dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam dan hukuman bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat.

Ahli keluarga Mohamad Zulkifli turut hadir di mahkamah – berita harian