IPOH 16 Mei – Para peniaga di negeri ini diingatkan agar mematuhi harga kawalan 27 jenis barang yang disenaraikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, mana-mana peniaga yang ingkar dengan peraturan di bawah Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) itu akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Katanya, pemeriksaan akan dilakukan sepanjang tempoh penguatkuasaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri yang bermula 21 Mei ini hingga 19 Jun depan.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan hari ini, kita mendapati ada beberapa barang seperti ayam dan cili kering yang dijual melebihi harga yang ditetapkan di bawah SHMMP.

“Jadi kita minta para peniaga ini agar menurunkan harga barang yang telah disenaraikan di bawah skim tersebut sebaik sahaja tempoh kuasa kuasa itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan harga barang kawalan bersama 20 anggota KPDNHEP negeri di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE