KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dengan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, dua tahun lalu.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu ke atas Sufian Sulaiman, 44, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Sufian didakwa merogol mangsa iaitu warga Indonesia berusia 19 tahun di sebuah rumah dekat Taman Bukit Cheras di sini, antara jam 3 hingga jam 4 pagi, pada akhir Julai 2016.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, sabitk kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

Berikutan itu, mahkamah menaikkan jumlah wang jaminan terhadap tertuduh iaitu daripada RM12,000 kepada RM25,000.

Selain itu, tertuduh diperintahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebanyak dua kali sebulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sepanjang perbicaraan bermula sejak Ogos tahun lalu, 10 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatan yang dilakukan adalah jijik dan kejam kerana mangsa hanya mahu mencari rezeki ketika datang Malaysia.

Sementara itu, peguam bela, Shah Rizal Abdul Manan, yang mewakili Sufian merayu hukuman yang rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung dua isteri dan enam anak – berita harian